
Alton Industry Ltd Group (Alton Group), iaitu pembekal global alatan pengguna dan komersil, perkakas dan penjagaan lantai akan melabur RM500 juta untuk menubuhkan kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunannya (R&D) di Johor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Rancangan untuk kemudahan baharu itu yang dijadual siap pada 2024, telah diumumkan semasa pertemuan di sini antara menteri dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Alton Group David Lu.
“Sebuah lagi syarikat yang saya tidak dapat namakan buat masa ini, akan melabur sejumlah besar di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media.
:Kedua-dua Alton Group dan syarikat ini mempunyai operasi di China dan mereka mahu mengembangkan operasi ke Malaysia
Menurut Tengku Zafrul, keputusan Alton Group untuk menubuhkan kemudahan pembuatan dan R&D di Malaysia mencerminkan keyakinan syarikat ini terhadap daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.
Pelaburan itu juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan untuk mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan menerima pakai teknologi dengan pantas untuk meningkatkan ekosistem sektor pembuatan, jelasnya.
“Syarikat-syarikat ini mahu mempelbagaikan rantaian bekalan mereka, dan mereka juga sedang meninjau untuk membawa masuk pembekal mereka ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi global,” kata menteri itu.
Semasa pertemuan dengan Tengku Zafrul, kumpulan itu turut menyatakan rancangannya untuk melabur lebih RM2 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang bagi pengembangan dan pertumbuhannya.
Sementara itu, sebuah lagi firma AS iaitu Top-Line Furniture Corporation (Top-Line) meluahkan hasrat untuk meningkatkan importnya dari Malaysia dalam beberapa tahun akan datang kepada RM230 juta setahun.
Syarikat itu mengimport perabot rumah dari Malaysia sejak 2000, dengan jumlah import kira-kira RM840 juta setakat ini.
Tengku Zafrul berkata, pengimport perabot besar dan pengedar borong terkemuka yang berpangkalan di Chicago, Illinois itu mempunyai rangkaian pusat pengedaran yang meluas di seluruh Amerika Utara dan membekalkan kepada lima syarikat perabot terbesar di rantau Mid-West.
Malaysia mengeksport RM13.86 bilion perabot ke seluruh dunia pada 2022, dengan AS menjadi destinasi eksport utamanya mencatatkan RM7.24 bilion atau 52.2% daripada jumlah eksport perabot negara tahun lepas.
Sementara itu, Malaysia merupakan sumber keenam terbesar perabot import AS pada 2022, menyumbang 2.78% daripada jumlah nilai import perabot dan peralatan tempat tidur AS.
Dalam satu kenyataan, Alton Group berkata, pihaknya bangga dapat mengembangkan jejak global serta membangunkan operasinya di Malaysia dengan rancangan pembukaan kemudahan pembuatan baharu syarikat di Johor Bahru.
“Insentif daripada kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan sebagai tambahan kepada sokongan dari segi infrastruktur menjadikan ini pelaburan yang baik untuk Alton,” katanya.
Syarikat itu menjalankan perniagaan di lebih 75 negara seluruh dunia dengan pejabat di China, Jepun, Hong Kong, Eropah dan Amerika Syarikat manakala kemudahan di Johor Bahru akan berfungsi sebagai pusat R&D global untuk platform teknologi baharu syarikat.