RM308 juta untuk 3 PPR baharu di Perak

RM308 juta untuk 3 PPR baharu di Perak

Projek-projek tersebut terdiri daripada PPR Tambun, Lenggong dan Teluk Intan, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Permohonan pembangunan ketiga-tiga PPR terbabit sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi, menurut Nga Kor Ming.
IPOH:
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM308 juta bagi pembangunan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Perak, membabitkan 1,200 unit kediaman di tiga kawasan Parlimen.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, projek yang akan memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah itu termasuk PPR Tambun yang akan dibangunkan bawah DUN Manjoi di tapak milik kerajaan negeri.

Beliau berkata, projek itu menyasarkan 500 unit rumah bertingkat dengan kemudahan seperti lif, surau, tadika dan balai komuniti dengan anggaran kos RM140 juta. KPKT kini sedang mendapatkan pertimbangan serta kelulusan khas Kementerian Ekonomi, tambahnya.

Seterusnya, menurut Nga, ialah PPR Lenggong di DUN Kota Tampan, melibatkan 300 unit rumah jenis teres berserta kemudahan asas antaranya surau, tadika dan bangunan utiliti.

PPR ini juga dibangunkan di tapak diberikan kerajaan negeri dengan anggaran kos RM72 juta, katanya.

“PPR Lenggong atau nama asalnya PPR Perak telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Permohonan ini sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sidang DUN Perak.

PPR Teluk Intan pula, yang terletak di kawasan DUN Changkat Jong dengan 400 unit rumah teres beserta kemudahan asas, akan dibina di tapak milik Perbadanan PR1MA Malaysia dengan anggaran kos RM96 juta.

Menurut Nga, permohonan PPR Teluk Intan juga telah dikemukakan dan sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.

“Ketiga-tiga projek PPR ini akan membantu menjayakan sasaran kerajaan persekutuan untuk pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) bawah RMK12,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.