
Pihak berkuasa turut digesa merampas sebarang aset diperolehnya hasil pemerdagangan itu.
Teo, 58, yang diekstradisi dari Thailand tahun lalu, dipenjara 18 bulan oleh mahkamah di New York, bulan lalu, selepas didapati bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pemerdagangan hidupan liar. Dia didakwa menganggotai konspirasi jenayah rentas negara dalam pemerdagangan dan penyeludupan sumbu badak berskala besar.
Aktivis hidupan liar, Damien Thanam Divean yang juga presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam berkata, pihak berkuasa Malaysia patut menyiasat dan mendakwa Teo, walaupun sebelum ini didapati bersih daripada sebarang kesalahan.
Beliau menggesa sebarang aset diperoleh Teo hasil aktiviti haram itu juga wajar dirampas.
“Rangkaian pemerdagangan hidupan liar Teo masih aktif dan perlu dineutralkan. Sindiket jenayah terancang dari timur laut Asia telah lama menggunakan Malaysia sebagai titik transit untuk menyeludup barangan hidupan liar dari Afrika ke Asia dan selanjutnya,” katanya kepada FMT.
Elizabeth John, pengurus komunikasi di Traffic, rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar antarabangsa berkata, tiada ketentuan sama ada siasatan lanjut akan diadakan terhadap mereka yang dikaitkan dengan rangkaian itu sama ada di Malaysia atau luar negara.
“Namun siasatan susulan itu penting bagi memastikan sebarang tangkapan dan sabitan berkaitan benar-benar menjejaskan operasi seumpama itu,” katanya.
Beliau turut menggesa hukuman lebih tinggi bagi jenayah melibatkan hidupan liar, selain lebih banyak kerjasama di peringkat antarabangsa bagi memerangi aktiviti seperti itu.