
“Berkaitan wang, hutang, bayaran. Nanti di mahkamah semasa perbicaraan akan dibuktikan, tapi adalah selamat kita katakan ia berpunca daripada masalah wang,” katanya sambil menambah tiada kesan dera atau seksaan pada mayat mangsa.
“Mereka maut akibat lemas. Masih menunggu laporan susulan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Allaudeen berkata, empat individu ditahan di Petaling Jaya – tiga lelaki Sri Lanka dan seorang lelaki Pakistan – kerana disyaki melindungi dua suspek utama yang telah dibebaskan dan akan dipanggil sebagai saksi jika diperlukan.
Beliau berkata, lokasi kejadian melibatkan rumah lima bilik disewa pasangan Sri Lanka itu yang berusia 40-an, selain anak lelaki mereka berusia 20-an, dan dua lagi warganegara sama, berusia antara 20 dan 30 tahun.
Polis mengesahkan tiga mangsa ditemukan meninggal dunia adalah penyewa dan anak pasangan itu.
Pada 23 Sept lalu, media melaporkan, polis menemukan mayat warga Sri Lanka itu di bilik stor di lokasi kejadian selepas menerima panggilan berkaitan satu pergaduhan pada 22 Sept.
Ketiga-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan manakala kepala mereka ditutup dengan plastik selain seorang daripada mangsa ditemukan dalam keadaan bogel.
Polis percaya berlaku pergaduhan melibatkan dua penyewa, didakwa rakan keluarga dari Klang, yang berkunjung ke rumah itu dan bermalam selama dua malam.
Pada hari kejadian, polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan. Antara ditahan adalah dua suspek utama, termasuk ibu bapa yang diberkas pada hari kejadian.
Bagaimanapun, si bapa meninggal dunia dalam tahanan pada 30 Sept.
“Siasatan terhadap kematian tahanan itu juga telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard,” katanya sambil menambah perkara itu tidak menjejaskan kes kerana kertas siasatan hampir selesai.