Keputusan rayuan NGO berkait sekolah vernakular 23 Nov

Keputusan rayuan NGO berkait sekolah vernakular 23 Nov

Hakim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam mewakili Mappim dan dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Saman GPMS, Mappim, Gapena and Isma sebelum ini ditolak selepas Mahkamah Tinggi memutuskan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit sah serta berperlembagaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Nov ini untuk keputusan rayuan oleh empat badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) berhubung isu sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit.

Hakim Supang Lian menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mappim dan dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

“Kami memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan kerana ia melibatkan perkara kepentingan awam. Penghakiman pada 23 Nov,” kata Supang yang bersidang bersama M Gunalan dan Azizul Azmi Adnan.

Mappim, Gapena, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kota Bharu yang menolak saman mereka masing-masing pada Disember 2021 dan Mei 2022.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena and Isma. GPMS bagaimanapun tidak memfailkan rayuan.

Mohd Nazlan memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.

Menerusi saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim, Gapena dan Isma menamakan beberapa pihak termasuk Kerajaan Malaysia, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula, yang menamakan menteri pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.

Terdahulu, Haniff Khatri dalam hujah balasnya berkata oleh kerana pendidikan merupakan urusan rasmi, maka penggunaan bahasa sebagai medium pengajaran wajib dalam Bahasa Melayu.

“Jika pendidikan adalah urusan rasmi, oleh itu pengajaran sukatan pelajaran kerajaan di mana-mana sekolah juga adalah urusan rasmi,” katanya.

Beliau berkata peguam responden menyatakan bahawa isu sekolah vernakular tertakluk di bawah Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak mendapatkan pendidikan dan wajar diberi takrifan liberal.

“Namun, kami menghujahkan bahawa rakan kami (peguam responden) telah terkhilaf kerana sekolah vernakular melibatkan Perkara 152 dan bukan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut peguam itu, Perkara 12 Perlembangaan Persekutuan adalah berhubung ketiadaan kebolehan diskriminasi terhadap mana-mana rakyat Malaysia daripada apa bangsa atau agama sekalipun dalam perolehan pendidikan dan dana daripada kerajaan atau institusi pendidikan.

“Perkara 12 tidak menyentuh berkaitan penggunaan bahasa pengantar. Oleh itu, mahkamah ini tidak boleh tercelaru dengan cadangan salah peguam responden yang mengatakan Perkara 12 terpakai dalam kes ini. Tidak ada aduan atau permintaan oleh perayu untuk mendiskriminasi mereka yang berketurunan India dan Cina,” katanya.

Dalam prosiding sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, mewakili menteri pendidikan dan kerajaan berhujah bahawa penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.