Kerajaan belanja 322.1% lebih untuk subsidi pada 2022

Kerajaan belanja 322.1% lebih untuk subsidi pada 2022

Kira-kira RM45 bilion, atau 81.5% daripada jumlah perbelanjaan subsidi, adalah bagi produk petroleum.

Putrajaya hanya membelanjakan RM13.134 bilion untuk subsidi pada 2021, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022.
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan membelanjakan RM55.443 bilion untuk pelbagai subsidi tahun lepas, meningkat 322.1% berbanding 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, Putrajaya hanya membelanjakan RM13.134 bilion untuk subsidi pada 2021.

“Antara perbelanjaan subsidi yang tertinggi ialah subsidi barangan produk petroleum yang berjumlah RM45.184 bilion atau 81.5% daripada keseluruhan perbelanjaan tersebut,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Laporan berkenaan turut mendedahkan Kementerian Kewangan membelanjakan RM120.174 bilion atau 40.8% daripada perbelanjaan kerajaan pada tahun itu, meningkat 64.5% daripada RM73 bilion dibelanjakan tahun sebelumnya.

Ia merangkumi dana untuk menampung subsidi bahan bakar. Secara perbandingan, Putrajaya hanya membelanjakan RM10 bilion pada 2021.

Pada Jun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan dalam proses untuk melaksanakan sistem subsidi bersasar.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, kerajaan dijangka berjimat di antara RM 4.7 bilion hingga RM9.47 bilion menerusi peralihan ke subsidi bersasar yang dijangka bermula suku kedua tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.