Klasifikasi B40, M40, T20 cerminan kuasa beli, kata ketua perangkawan

Klasifikasi B40, M40, T20 cerminan kuasa beli, kata ketua perangkawan

Uzir Mahidin berkata klasifikasi pendapatan isi rumah berdasarkan tinjauan terperinci dan mengambil kira komitmen isi rumah berbeza-beza.

panic buying shopping super market
Ketua Perangkawan Uzir Mahidin, berkata tinjauan dijalankan secara berkala itu memetakan pengagihan pendapatan dan menetapkan kedudukan persentil bagi isi rumah.
KUALA LUMPUR:
Ketua Perangkawan Uzir Mahidin berkata klasifikasi pendapatan isi rumah negara — T20, M40, dan B40 — mencerminkan kuasa beli rakyat Malaysia.

Uzir berkata, klasifikasi itu adalah berdasarkan data tinjauan terperinci yang merekodkan pengagihan pendapatan merentasi pelbagai segmen penduduk.

Bagi mewajarkan metodologi digunakan untuk menentukan klasifikasi tersebut, beliau berkata kerangka tersebut diperoleh daripada tinjauan pendapatan isi rumah dijalankan secara berkala, yang memetakan pengagihan pendapatan dan menetapkan kedudukan persentil bagi isi rumah.

Beliau berkata, pendapatan isi rumah dinilai mengikut konteks mengambil kira obligasi kewangan berbeza bagi setiap isi rumah.

“Ukuran utamanya adalah dengan melihat kepada kebarangkalian dan keadaan sekeliling, terutamanya ciri-ciri komitmen pendapatan isi rumah atau pendapatan boleh guna bersih,” katanya pada sidang media.

Berdasarkan nilai ambang terkini, isi rumah berpendapatan kurang RM5,860 sebulan tergolong dalam kategori B40, manakala mereka berpendapatan RM5,860 hingga RM12,679 dianggap M40.

Isi rumah berpendapatan lebih RM12,680 pula dikategorikan T20.

Klasifikasi berkenaan kembali menjadi perbualan menjurus perdebatan yang semakin rancak mengenai sama ada kategori B40, M40, dan T20 yang telah lama diguna pakai itu mencerminkan realiti ekonomi Malaysia.

Perdebatan itu juga semakin memuncak di tengah-tengah perbincangan mengenai subsidi petrol bersasar.

Pada Ahad, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan, berkata kerajaan akan memuktamadkan cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi, tertakluk kajian lanjut.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyeru kerajaan berhati-hati dalam melaksanakan subsidi petrol bersasar, sambil menyatakan pendapatan kasar isi rumah semata-mata tidak lagi menjadi penunjuk kapasiti kewangan sebenar sesebuah keluarga, terutamanya di bandar besar.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, berkata pengelasan semula kumpulan pendapatan isi rumah di bawah kategori B40, M40, dan T20 yang kini menjadi subjek perdebatan dalam menentukan agihan subsidi akan menjadi fokus utama di bawah visi ‘Konsensus Nasional Baharu’.

Uzir berkata, tinjauan Jabatan Perangkaan juga menekankan anggaran pendapatan persentil bukan sahaja di peringkat nasional, malah di peringkat negeri dan daerah.

“Sesetengah isi rumah mungkin memperoleh tahap pendapatan tertentu, contohnya di peringkat bandar, namun komitmen kewangan mereka berbeza bergantung sama ada mereka tinggal di kawasan bandar atau luar bandar, serta faktor seperti bilangan anak dan tanggungan dimiliki,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.