
Adam Ariff Roslan berkata, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat memberikannya butiran akaun Bank Riyad dikatakan milik “Putera Faisal Turki Al Saud” ketika analisis dijalankan.
Beliau berkata, analisisnya berdasarkan penyata bank akaun Najib dan Good Star Limited, sebuah syarikat dikawal oleh ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho.
Adam berkata, analisisnya mendapati Good Star menghantar sejumlah USD12.5 juta (RM58.6 juta) ke akaun yang dikaitkan dengan “Putera Faisal” pada 18 Feb 2011.
Lima hari kemudian, sejumlah USD10 juta dipindahkan ke akaun semasa AmBank milik Najib, yang berakhir dengan digit “694”, daripada akaun sama yang dikaitkan dengan “Putera Faisal”, katanya.
Pada 10 Jun tahun sama, beliau berkata, Good Star membuat pembayaran kedua sebanyak USD12 juta kepada akaun yang didakwa milik “Putera Faisal”. Tiga hari kemudian, Najib menerima USD10 juta, dikatakan daripada “Putera Faisal”.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Shafee Abdullah, Adam berkata beliau tidak mengetahui sebarang urusan antara “Putera Faisal” dengan Najib berkaitan pindahan USD20 juta itu.
Shafee: Jadi kamu buat “tekaan” (bahawa pembayaran itu berkait dengan Good Star dan 1MDB) disebabkan kehampiran masanya (proximity of time)?
Adam: Saya tidak menganggapnya sebagai tekaan.
Penganalisis itu turut mengakui beliau tidak tahu sama ada dana itu sumbangan pemerintah Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah, kepada Najib, seperti yang didakwa oleh pihak pembelaan.
Katanya, tugasnya hanya menganalisis pergerakan wang dalam akaun yang dikaitkan dengan 1MDB.
Shafee: (Jadi) kamu tidak akan tahu sama ada USD20 juta itu daripada sumber lain (selain Good Star)?
Adam: Saya tidak boleh mengesahkannya tanpa penyata Bank Riyad.
Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.