
Mengingatkan sejarah sangat panjang di sebalik konflik itu, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-77 tahun lalu menggesa kuasa-kuasa besar “bersikap jujur” jika mahu selesaikan isu Palestin.
“Rakyat Palestin dikurung dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia berdekad-dekad lamanya. Mereka dizalimi, dibunuh, dan tanah dirampas.
“Selagi puncanya tidak diselesaikan, maka konflik ini akan terus berpanjangan dan mengorbankan ribuan nyawa,” katanya dalam kenyataan.
Ismail menyeru rakyat bersolidariti dalam isu itu kerana hak mutlak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat wajib dipertahankan.
Selain PBB, beliau juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam dan Liga Arab bersatu dan bersama menghentikan kekejaman rejim Zionis ke atas Palestin.
Pertempuran terkini di Palestin melibatkan Hamas, yang mentadbir Gaza, dan Israel sejak 7 Okt mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak.
Rejim melancarkan serangan ke atas Gaza susulan operasi Hamas terhadap Israel.