Srettha minta bantuan Anwar bebas warga Thai ditahan Hamas

Srettha minta bantuan Anwar bebas warga Thai ditahan Hamas

Kementerian Luar Thailand mendakwa seramai 14 warganya dijadikan tebusan oleh Hamas yang melancarkan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin (kiri) meminta bantuan Anwar Ibrahim untuk membebaskan rakyatnya ketika pertemuan di pejabat perdana menteri di Putrajaya. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin meminta bantuan daripada rakan sejawatannya dari Malaysia Anwar Ibrahim untuk membantu pembebasan rakyat Thailand yang didakwa dijadikan tebusan oleh Hamas semasa pertempuran di Israel.

Jurucakap kerajaan, Chai Watcharong berkata Srettha yang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu membangkitkan isu warganegaranya yang diculik ketika bertemu dengan Anwar di pejabat perdana menteri di Putrajaya.

“Oleh itu, beliau meminta bantuan daripada Malaysia kerana hubungan baik mereka dengan pihak Palestin.

“Perdana menteri (Srettha) bimbang mengenai keselamatan tebusan warga Thailand. Ia adalah isu keselamatan yang sensitif. Kami tidak akan mendedahkan butirannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, Kementerian Luar Thailand mendakwa seramai 14 warganya dijadikan tebusan sejak 7 Oktober. Kira-kira 20 warga Thailand juga dikhuatiri terbunuh dalam pertempuran itu.

Thailand juga meminta bantuan Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan Qatar untuk memudahkan rundingan bagi pembebasan mereka.

Media tempatan melaporkan Menteri Pertahanan Sutin Klungsang berkata semua rakyat Thailand yang dijadikan sebagai tebusan dilaporkan selamat.

Kira-kira 30,000 rakyat Thailand bekerja di sektor pertanian Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.