
Muhyiddin (PN-Pagoh) ketika membahaskan Pindaan Undang-undang Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata Putrajaya perlu melihat tahap kemiskinan ‘dari perspektif yang lebih luas’.
Jelasnya, sejak sekian lama Malaysia mengukur tahap kemiskinan berdasarkan pendapatan dan tidak pernah menganggap akses air sebagai petunjuk seperti takrifan oleh Bank Dunia.
“Rakyat mendapat bantuan wang semata-mata tetapi dinafikan hak asasi mereka untuk mendapat bekalan air bersih dan terawat.
“Jika kerajaan dapat meningkatkan dan mengoptimumkan kemampuan data raya berdasarkan pada kayu ukur kemiskinan air ini, maka usaha untuk menambahbaik akses bekalan air akan dapat dilakukan dengan lebih cekap dan teratur,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurutnya, jika perkara itu dapat dilakukan maka fungsi SPAN sebagai sebuah entiti bertanggungjawab berkaitan pengurusan air akan menjamin akses bekalan yang lebih menyeluruh, berkualiti dan selamat buat semua pengguna.
Pengerusi Perikatan Nasional itu turut menyentuh isu pembaziran air melibatkan rakyat Malaysia yang mencecah kerugian 7 liter juta sehari atau RM2 billion setahun.
Justeru, beliau menggesa SPAN mencari jalan penyelesaian bagi menampung kapasiti penggunaan air di sebalik keterbatasan kewangan Kerajaan.
Beliau turut menggesa SPAN menggariskan tindakan jangka sederhana dan panjang bagi menangani Isu Kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
“Bagaimanakah isu NRW nak diuruskan supaya dalam tempoh yang tidak terlalu lama (supaya) situasi bekalan air di negara kita ini dapat diperbaiki,” katanya.