PAS sasar tawan Perak, Pahang pada pilihan raya

PAS sasar tawan Perak, Pahang pada pilihan raya

Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata parti itu mahu menambah penguasaan kerusi Parlimen dan DUN di luar politik tradisi.

Sanusi Nor berkata PAS perlu meluaskan pengaruh dalam kalangan pengundi muda yang tidak berparti.
SHAH ALAM:
PAS berhasrat menguasai Perak dan Pahang pada pilihan raya akan datang selain mengekalkan empat negeri sedia ada iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor, berkata PAS perlu mengambil pelbagai langkah dan tidak hanya terkurung dengan politik tradisi, selain berusaha menambah jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain empat negeri PAS mesti merangka di semua negeri untuk ‘move forwards to the next level’ untuk menguasai sekurang kurangnya satu negeri lagi sama ada Perak atau Pahang, kalau Perak tak dapat kita pergi Pahang, kalau dapat dua-dua lagi bagus.

“Salah satu yang perlu diberi pertimbangan bersesuaian dengan keadaan semasa ketika ini ialah politik yang tidak membosankan yang organik, politik yang boleh menawan, menakluki serta memasuki ‘market’ (pasaran) pengundi muda yang tidak menjadi ahli mana-mana parti,” katanya ketika sesi penggulungan Muktamar PAS kali ke-69.

Sehingga kini, PAS menguasai pentadbiran kerajaan negeri di Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Pada masa sama, Sanusi yang juga menteri besar Kedah, sekali lagi mengulangi pendiriannya PAS merupakan “kingmaker” dalam semua keputusan serta gerakan politik negara.

“Di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang, PAS berada di arus perdana politik Malaysia dan ‘kingmaker’. Hampir 100% ‘pasaran’ di masjid dan surau dibolot PAS dan ia perlu diperluaskan lagi untuk perjalanan politik masa depan parti ini,” katanya.

Katanya, wakil rakyat PAS tidak boleh ditinggalkan bersendirian dalam mengatur langkah, sebaliknya perlu bergerak bersama khususnya membabitkan kerja di lapangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.