
Tertuduh yang juga bapa enam anak, Mohd Nazri Buang, 47, membuat pengakuan itu terhadap semua lapan pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid, lapor Harian Metro.
Dia didakwa menipu warga emas Faizal Awab, 71, supaya menyertai projek di bawah kendalian Baitulmal, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Daerah yang menyebabkan mangsa kerugian sehingga RM25,660.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa memperdayakan lelaki terbabit untuk mendapatkan tender membekalkan peralatan perubatan dan membaik pulih rumah fakir miskin daripada MAIJ Muar menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah RM880, RM3,770 dan RM8,900, pada 24 dan 25 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, dia sekali lagi didakwa memperdayakan lelaki terbabit dan mangsa kemudiannya menyerahkan RM3,500, RM630 dan RM1,940 untuk tujuan sama, pada 4 hingga 5 September lalu.
Pertuduhan ketujuh dan kelapan pula, dia didakwa menipu orang sama yang kemudiannya menyerahkan RM4,100 serta RM1,940 kepadanya tanpa mengetahui semua projek ditawarkan tertuduh sebenarnya tidak wujud dengan semua kejadian berlaku di Jalan Salleh, di sini.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu penjara sehingga 10 tahun dan juga sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa membuat laporan mendakwa tertuduh menawarkan projek di bawah Baitulmal dan memintanya memberikan modal selain menjanjikan pulang keuntungan sehingga 70%
Pada masa sama, tertuduh juga menggunakan invois palsu untuk meyakinkan mangsa dengan semua transaksi dijalankan secara berperingkat sejak 24 Ogos hingga 7 September lalu.
Dalam tempoh itu, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan sebaliknya diarahkan menambahkan lagi modal untuk pelbagai tujuan. Namun tindakan tertuduh menimbulkan kecurigaan dan mangsa merasakan dia telah ditipu.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Nurain Sakina Zakri dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).