
Lua Wen Shin, 41, selaku orang kena saman (OKS) dikehendaki di bawah Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, untuk mengemukakan penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2020 hingga 2021 mengenai pendapatan syarikat logistik berkenaan, kepada ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun, lelaki itu didakwa gagal mengemukakan penyata berkenaan yang masing-masing mempunyai pendapatan bercukai RM1.57 juta yang boleh dikenakan cukai RM376,826 bagi tahun taksiran 2020 dan RM741,676 yang boleh dikenakan cukai RM178,002 bagi tahun taksiran 2021.
Sementara itu, di mahkamah sama, Syed Azhar Syed Sahat, 51, seorang pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi lima tahun taksiran.
Syed Azhar selaku OKS dikehendaki di bawah Seksyen 77(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan penyata pendapatan dalam borang BE bagi tahun taksiran 2016, 2018, 2019, 2020 dan 2021 mengenai pendapatan peribadi kepada Ketua Pengarah LHDN.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Azhar didakwa gagal mengemukakan penyata itu yang mempunyai pendapatan bercukai sebanyak RM74,862 yang boleh dikenakan cukai RM6,621 bagi tahun taksiran 2016; dan RM135,166 yang boleh dikenakan cukai RM19,339 bagi tahun taksiran 2018.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa gagal mengemukakan penyata yang mempunyai pendapatan bercukai RM251,175 yang boleh dikenakan cukai RM47,187 bagi tahun taksiran 2019; RM125,481 yang boleh dikenakan cukai RM17,015.44 bagi tahun taksiran 2020; dan RM220,747 yang boleh dikenakan cukai RM39,679 bagi tahun taksiran 2021.
Pendakwaan bagi kedua-dua individu berkenaan dibuat mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menetapkan 3 Dis depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen untuk kes Lua, manakala 28 Nov untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam untuk kes Syed Azhar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN Mohamad Norhalim Kamasan, manakala peguam W T Wong mewakili Lua, manakala Syed Azhar tidak diwakili peguam.