Kastam Kelantan rampas rokok seludup RM765,380

Kastam Kelantan rampas rokok seludup RM765,380

Semua rokok diseludup masuk dari negara jiran menerusi sempadan perairan negara menggunakan bot sebelum diangkut dengan lori, kata Kastam Kelantan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (tengah) menunjukkan rampasan rokok seludup pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Kubor hari ini. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup 980,000 batang rokok bernilai RM765,380 termasuk cukai dalam serbuan di Melor, Kota Bharu, pada Rabu lepas.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata seorang pemandu lori berusia 40 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 11.30 malam oleh anggota cawangan penguatkuasaan Pengkalan Kubor itu.

“Bertindak atas maklumat, anggota kami membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori jenis Foton Aumark di persimpangan lampu isyarat, Pekan Melor dan menahan pemandu lori terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu, anggota kami menjumpai 980,000 batang rokok putih bernilai RM107,800 dengan jumlah cukai RM657,580,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Wan Jamal berkata semua rokok berkenaan datang dari negara jiran yang diseludup masuk menerusi sempadan perairan negara (laut) menggunakan bot sebelum diangkut dengan lori.

Menurutnya bagi mengaburi pihak berkuasa rokok berkenaan dibawa menggunakan lori ‘bonded’ sebelum diedarkan di pasaran luar Kelantan.

“Suspek direman 14 hari bermula 18 Okt lepas untuk siasatan lanjut dan ke disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang berlaku di negeri ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.