Mengapa mesej awam mengenai vape, rokok elektronik mesti jelas

Mengapa mesej awam mengenai vape, rokok elektronik mesti jelas

FMT meneliti secara dekat bagaimana bahasa membentuk mesej ini dan apakah kesannya kepada perokok yang mahu berhenti merokok.

vape
Dengan evolusi produk nikotin, kekeliruaan semakin meningkat sama ada alternatif rokok seperti vape dan rokok elektronik lebih atau kurang bahaya berbanding rokok konvensional.
PETALING JAYA:
Sejak sekian lama, mesej kesihatan awam mengenai tembakau adalah jelas dan berkesan: merokok membunuh.

Namun, dengan evolusi produk nikotin, kekeliruan semakin meningkat sama ada alternatif rokok seperti vape dan rokok elektronik lebih atau kurang bahaya berbanding rokok konvensional.

Free Malaysia Today meneliti kesan mesej yang tidak jelas ini serta bagaimana ia mungkin menjejaskan usaha membantu perokok berhenti merokok.

Mengapa bahasa penting

Rashidi Mohamed Pakri Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata kekeliruan tersebut mempunyai implikasi terhadap perokok yang cuba berhenti.

Beliau berkata antara isu utama ialah rokok konvensional dan peranti vape sering dikelompokkan di bawah istilah umum seperti merokok atau produk merokok alternatif, sekali gus menyukarkan perokok membezakan tahap risiko.

“Terdapat peningkatan bilangan orang, termasuk perokok, yang kini percaya bahawa vape sama atau lebih bahaya daripada merokok,” katanya kepada FMT.

Hayden McRobbie, seorang penyelidik utama dalam kebergantungan tembakau, turut bersetuju dan menyatakan bahawa kajian terkini menunjukkan persepsi awam bergerak ke arah yang salah.

“Trend persepsi risiko bergerak ke arah yang tidak tepat. Terdapat peningkatan trend orang ramai yang percaya bahawa rokok elektronik lebih bahaya daripada merokok, dan penurunan trend yang percaya ia kurang berbahaya,” katanya.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Jama Network Open pada 2023 mendapati 57% orang dewasa yang merokok di England percaya bahawa rokok elektronik adalah sama atau lebih berbahaya daripada rokok biasa.

Namun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, merokok memudaratkan kesihatan terutamanya kerana pembakaran tembakau menghasilkan ribuan bahan kimia toksik, ratusan daripadanya diketahui berbahaya atau karsinogenik serta menyumbang kepada kanser, penyakit jantung dan penyakit paru-paru kronik.

Sementara itu, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan di UK menyatakan bahawa walaupun vape tidak bebas risiko, ia tidak melibatkan pembakaran dan kurang dedahkan pengguna kepada bahan toksik berbanding asap rokok.

Ia sekali gus kurangkan pendedahan kepada banyak bahan yang dikaitkan dengan penyakit tersebut.

“Bukti terkini menunjukkan penggunaan rokok elektronik lebih berkesan berbanding terapi penggantian nikotin dalam membantu perokok berhenti merokok.

“Ini adalah perkara yang perlu diberi perhatian kerana mesej kepada orang ramai mungkin tidak sejelas yang dimaksudkan,” kata Rashidi.

McRobbie berkata kajian terbaharu juga menunjukkan salah tanggapan ini tidak berlaku secara seimbang, dengan perokok daripada kumpulan sosioekonomi rendah lebih cenderung mempercayai bahawa rokok elektronik sama atau lebih bahaya daripada rokok biasa.

“Mereka yang paling memerlukan bantuan, termasuk daripada kumpulan sosioekonomi berpendatan rendah, adalah golongan yang mempercayai salah tanggapan ini,” katanya.

Laluan vape perubatan

Rashidi berkata mesej yang lebih jelas perlu disertai dengan kawal selia yang lebih kukuh jika vape ingin berfungsi sebagai alat berhenti merokok yang berkesan.

Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pembangunan laluan vape perubatan yang dikawal selia, di mana peranti dipantau dan diberikan secara terkawal, bukannya dijual sebagai produk rekreasi terbuka.

Di bawah model ini, rokok elektronik akan dilengkapi teknologi mikro untuk memantau pengambilan nikotin, corak penggunaan serta pengesahan pengguna.

Rashidi berkata integrasi sensor dan ciri kesalinghubungan, seperti dalam peranti elektronik pengguna, boleh menjadikan peranti vape sebahagian daripada Internet Benda Perubatan, sekali gus membolehkan doktor memantau perkembangan pesakit dari jauh.

“Ini menyelesaikan kebimbangan utama seperti akses golongan muda atau perkongsian peranti.

“Peralihan daripada sistem vape terbuka kepada sistem tertutup yang dipantau akan menyediakan data dan akauntabiliti. Ia mengubah vape daripada tabiat tidak terkawal kepada strategi berhenti merokok yang boleh diukur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.