Nasihat salah AG kepada Kabinet punca GEG digugur, dakwa KJ

Nasihat salah AG kepada Kabinet punca GEG digugur, dakwa KJ

Bekas menteri kesihatan berkata Malaysia sebenarnya mampu lulus undang-undang larang generasi baharu membeli rokok sebelum ini seperti Parlimen Britain.

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin berkata beliau telah menyediakan peruntukan melarang generasi baharu membeli rokok sebelum meninggalkan Kementerian Kesihatan pada 2022.
PETALING JAYA:
Malaysia sebenarnya mampu meluluskan undang-undang melarang generasi baharu membeli rokok seperti diluluskan Parlimen Britain, kata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang mendakwa keputusan lalu dipengaruhi kesilapan nasihat oleh peguam negara.

Khairy berkata, beliau telah menyediakan peruntukan undang-undang bagi tujuan berkenaan sebelum meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2022, susulan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.

“Namun, peruntukan itu digugurkan kerana industri tembakau/vape didakwa berjaya mempengaruhi Kabinet untuk menolaknya.

“Dan pada pandangan saya, peguam negara ketika itu telah memberi nasihat yang salah kepada Kabinet,” katanya di Instagram.

Semalam, dua dewan Parlimen Britain meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan melarang kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah membeli rokok sepanjang hayat mereka.

RUU tembakau dan vape itu bertujuan menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Jan 2009 (kini berusia 17 tahun) daripada mula merokok.

Kenyataan Khairy dipercayai merujuk kepada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok atau Generasi Penamat (GEG).

Peruntukan GEG bertujuan melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau kepada mereka yang lahir pada atau selepas 1 Jan 2007, telah digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, turut memohon maaf di Dewan Negara atas pengguguran peruntukan itu, yang menurut Jabatan Peguam Negara adalah tidak berperlembagaan.

Beliau turut menafikan ia mempunyai kaitan pengaruh penggiat industri berkenaan yang melobi kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.