Hubungan dengan Israel tak jejas Singapura-Malaysia, kata PM Lee

Hubungan dengan Israel tak jejas Singapura-Malaysia, kata PM Lee

Sementara itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Singapura mempunyai pendirian bersama mengenai pentingnya gencatan senjata.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Singapura berpendirian perlunya gencatan senjata segera di Gaza. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata hubungan diplomatik Singapura dengan Israel tidak akan mempengaruhi hubungan negara itu dengan Malaysia ketika rejim Zionis berterusan menyerang Gaza.

Pada sidang media bersama di Singapura, Lee berkata rakyat Singapura memahami pendirian republik tersebut terhadap konflik Israel-Palestin.

“Malaysia jelas dengan pendiriannya. Situasi mereka (Malaysia) tidak sama dengan Singapura kerana kami mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, tetapi pada masa sama, kami juga mempunyai hubungan mesra dengan pihak berkuasa Palestin.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan mesra dengan pihak berkuasa Palestin tetapi tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Jadi, situasi diplomatik itu tidak sama. Bagaimanapun, tidak ada sebab ia menyukarkan Malaysia-Singapura,” katanya ketika ditanya mengenai kesan konflik tersebut terhadap hubungan kedua-dua negara berjiran itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata apa yang penting adalah pendirian sama Malaysia dan Singapura terhadap perlunya gencatan senjata dikuatkuasakan.

“Kini gencatan senjata sangat kritikal, dan bantuan kemanusiaan. Dan pendirian ini disokong bersama oleh kedua-dua negara dan majoriti negara di seluruh dunia.”

Anwar sebelum ini menegaskan bahawa konflik berpanjangan di Palestin adalah isu mengenai penduduk yang dihalau dari tanah, dirampas harta benda, dan martabat mereka, dan bukannya isu berkaitan bangsa, hak, atau pertikaian sejarah.

Rejim Zionis mengisytiharkan perang terhadap Hamas selepas pejuang Palestin yang berpangkalan di Gaza membuat serangan mengejut ke Israel pada 7 Okt lalu. Lebih daripada 8,000 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak sejak itu.

Bagi menyatakan solidariti dengan Palestin, kerajaan mengumpul sekurang-kurangnya RM81 juta untuk dana amanah kemanusiaan bagi Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.