Lebih RM260,000 kompaun majikan tak patuh gaji minimum, kata menteri

Lebih RM260,000 kompaun majikan tak patuh gaji minimum, kata menteri

Sebanyak 148 pendakwaan telah dibuat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Sabah dan Sarawak dari Mei 2022 hingga September lalu.

PGM 2022 mula berkuat kuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kompaun bernilai RM262,100 telah dikeluarkan terhadap majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 dari Mei 2022 hingga September lalu, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Sivakumar berkata jumlah berkenaan membabitkan 148 pendakwaan telah dibuat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Sabah dan Sarawak dari Mei 2022 hingga September lalu.

“Sebanyak 1,658 aduan berhubung ketidakpatuhan majikan daripada pelbagai sektor terhadap kadar gaji yang ditetapkan itu dalam tempoh 1 Mei 2022 sehingga 30 September lalu.

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah membuka 380 kertas siasatan,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

PGM 2022 mula berkuat kuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Melalui peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuatkuasa pada 1 Jan 2023.

Menyentuh program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Sivakumar berkata kerajaan masih meneliti cadangan untuk meletakkan bidang berkenaan dalam satu kementerian.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh terlibat dan memerlukan persetujuan bersama.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata jumlah kemasukan pelatih TVET semakin meningkat iaitu daripada 130,440 pada 2020 diikuti 163,984 (2021) dan 166,577 (2022), berdasarkan data Kementerian Ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.