
Setiausaha Agung, Fouzi Singon, berkata kecenderungan segelintir ibu bapa membuat laporan Sispaa termasuk berkaitan rampasan telefon bimbit atau vape yang dibawa pelajar boleh melemahkan motivasi guru dan memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan sahsiah murid.
“Saya berharap ibu bapa tidak mewujudkan suasana menyebabkan guru menjadi pasif dan takut bertindak.
“Jika guru tidak lagi berani mendidik dengan tegas dan berhemah, akhirnya anak-anak kita yang akan terkesan,” katanya kepada FMT.
Fouzi mengulas hantaran bekas guru Fadli Salleh yang lantang membawa isu pendidikan di Facebook, berhubung rungutan seorang warden asrama dikenakan tindakan melalui Sispaa selepas merampas telefon bimbit dan vape milik pelajar.
Guru berkenaan dilaporkan mengaku hilang semangat untuk mendidik dan hanya bekerja demi gaji.
Menurut Fouzi, isu sebenar bukan terletak pada tindakan rampasan itu sebaliknya berpunca daripada persepsi negatif terhadap Sispaa serta kelemahan pengendaliannya yang menyebabkan guru merasakan reputasi mereka tercalar setiap kali aduan dibuat.
Katanya, sebarang tindakan disiplin hanya dilakukan berasaskan peraturan sekolah yang dimaklumkan kepada ibu bapa dan murid, serta mengikut prosedur ditetapkan.
“Sispaa sepatutnya menjadi saluran penjelasan, bukan alat menjatuhkan maruah atau reputasi guru. Pegawai penyiasat pula perlu bertindak secara profesional,” katanya.
Fouzi turut mendedahkan, wujud kes penyalahgunaan Sispaa termasuk digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan rakan sekerja dalam urusan kenaikan pangkat.
“Ada kes laporan dibuat semata-mata untuk menghalang seseorang naik pangkat. Apabila ada aduan Sispaa, proses kenaikan pangkat akan terhenti,” katanya.
Sehubungan itu, NUTP mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan dua bulan lalu supaya mekanisme Sispaa ditambah baik, termasuk menjalankan tapisan awal terhadap pengadu sebelum siasatan penuh dijalankan.
“Kami minta supaya pengadu turut disiasat terlebih dahulu bagi menentukan sama ada aduan itu tulen atau bersifat fitnah, sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.