
Ketua Polis Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Hassan Shazali, 52, dari Melor, Kota Bharu dan Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang disahkan meninggal dunia di lokasi.
Beliau berkata, lelaki itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, Gua Musang, manakala pasangannya bekerja di kantin sekolah sama dan mereka dijadual melangsungkan perkahwinan 25 Dis ini.
“Polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat Toyota Fortuner terbabas lalu terjatuh ke gaung sedalam lebih 60m.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang dari arah Hulu Terengganu menghala Gua Musang melalui jalan berkenaan yang ditutup akibat tanah runtuh. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi.
Sharudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.