
Sebaliknya, Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir berkata perlu ada penegasan daripada negara anggota OIC supaya gencatan senjata disegerakan dan pembunuhan di Palestin dihentikan.
“Kita tidak mahu mesyuarat, pertemuan demi pertemuan (OIC), tetapi ia tidak memberikan apa-apa impak, tidak menghasilkan apa-apa.
“Perlu ada penegasan, ada langkah ke hadapan daripada negara anggota untuk menyegerakan proses gencatan senjata, dihentikan serangan dan pembunuhan kejam oleh rejim (Israel) yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau menghadiri mesyuarat menteri luar OIC sempena Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan yang akan berlangsung di ibu negara Arab Saudi hari ini.
Sidang kemuncak tergempar itu akan membincangkan kekejaman dan serangan berterusan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel terhadap Palestin.
Dihoskan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sidang kemuncak itu akan turut dihadiri pemimpin dan wakil negara anggota OIC.
Sidang kemuncak tergempar itu hasil kerjasama utuh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin OIC.
Perdana Menteri dijangka tiba di Riyadh hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu dan menyuarakan ketegasan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin yang berlarutan sekian lama.
“Apa yang perlu ada ialah langkah segera menamatkan peperangan ini. Kita tidak boleh membiarkan pembunuhan kejam dilakukan, kanak-kanak, wanita dan orang awam dibunuh dengan kejam atas nama hak mereka (Israel) untuk
‘self-defence’.”
Beliau berkata, sidang kemuncak tergempar OIC hari ini akan didahului Sidang Kemuncak Negara Arab.
Katanya, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan pada akhir dua sidang kemuncak itu yang diharap dapat memberikan impak besar kerana Malaysia mahu tindakan benar-benar konkrit untuk menyelesaikan masalah rakyat Palestin, bukan di Gaza saja, tetapi juga di Tebing Barat yang mula diserang rejim Israel.
Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza kira-kira sebulan lalu mengorbankan lebih 11,000 nyawa, dengan sebahagian besarnya orang awam, khasnya wanita dan kanak-kanak.