
Beliau menyifatkan harga siling RM2.85 “tidak logik” kerana kos bahan mentah semakin meningkat dan syarikat pengeluar gula negara, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) serta Central Sugars Refinery Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian kira-kira 80 sen bagi setiap 1kg gula dihasilkan.
Sebagai alternatif, kerajaan boleh memberi subsidi kepada dua syarikat terbabit, tetapi katanya, ia tidak dapat mengekang aktiviti penyeludupan memandangkan harga gula di Malaysia lebih rendah daripada negara jiran.
“Elok kita naikkan harga sebab kita tahu apa-apa subsidi diberi ada ketirisannya, kerajaan dah beritahu banyak ketirisan (berlaku). Gula di sini kalau murah, akan pergi ke negara jiran.
“Seeloknya, gula jangan bagi subsidi, tapi (tetapkan) harga kawalan RM3.80 atau apungkan harga saja dan biarkan pasaran yang buat keputusan, macam ayam,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Ahmad Shabery Cheek berhubung kenaikan harga gula mentah berkali ganda sejak 2020 menyebabkan harga sebenar jauh melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan pada RM2.85 sekilogram.
Shabery bimbang jika keadaan itu berlarutan dan harga gula kekal rendah, peneroka terpaksa menanggung kerugian berterusan kerana mereka merupakan pemegang saham FGV Holdings Berhad dan Koperasi Permodalan Felda Bhd, yang memegang saham utama MSM.
Dengan menaikkan harga gula, Ameer berkata, kerajaan boleh membendung aktiviti penyeludupan dan mengelakkan peneroka terus mengalami kerugian.
“Jangan kita takut sangat (buat keputusan), kita bukan makan gula peket 1kg sehari. Memang gula banyak kegunaan, tetapi apa boleh buat, harga global dah naik, tapi kita nak pegang-pegang. Kita perlu ada keberanian politik, buat keputusan yang betullah.”