Wanita maut, 10 cedera nahas 2 kereta

Wanita maut, 10 cedera nahas 2 kereta

Kemalangan membabitkan Proton Persona dan Toyota Camry dalam kejadian di Jasin semalam.

Beberapa anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam nahas dua kenderaan di Jasin semalam. (Gambar JBPM Melaka)
PETALING JAYA:
Seorang wanita maut, manakala 10 lagi termasuk enam kanak-kanak cedera dalam nahas dua kenderaan di Jalan Serkam-Bemban, Serkam, Jasin semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Sukur Md Ali, berkata pihaknya menerima laporan berhubungan nahas itu pada 5.13 petang.

Katanya, enam pegawai dan anggota dari BBP Merlimau dikejarkan ke lokasi kejadian dan pasukan itu tiba 12 minit kemudian.

“Setiba di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Persona dan Toyota Camry.

“Enam individu membabitkan tiga dewasa dan tiga kanak-kanak menaiki Proton Persona, manakala Toyota Camry pula dinaiki dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Seorang wanita yang juga penumpang Proton Persona disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan, dan semua mangsa yang lain cedera,” katanya, menurut Berita Harian.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi itu turut dibantu pasukan dari BBP Jasin Bestari, termasuk dua orang daripada Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.