DAP ikhlas kerjasama dengan Dr M, kata Loke

DAP ikhlas kerjasama dengan Dr M, kata Loke

Setiausaha agung parti itu menolak dakwaan mereka menggunakan bekas perdana menteri untuk menjatuhkan Najib Razak pada PRU 2018.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu juga berharap membawa pembaharuan apabila memutuskan bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP menolak dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa mereka “menggunakan satu sama lain” untuk mengalahkan Najib Razak, pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika itu, dalam PRU14.

Setiausaha Agung Loke Siew Fook menegaskan partinya ikhlas bekerjasama dengan Mahathir ketika itu.

“Kami (DAP) ikhlas bekerjasama, dengan harapan Mahathir telah berubah.

“Matlamatnya bukan sahaja untuk menjatuhkan pentadbiran Najib Razak tetapi juga untuk membawa pembaharuan,” katanya selepas majlis di Sunway Resort.

Dalam siri audio siar Keluar Sekejap dihoskan bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Mahathir mendakwa beliau dan DAP hanya menggunakan satu sama lain dalam matlamat bersama mereka untuk menjatuhkan Najib pada PRU 2018.

Loke bagaimanapun memuji Mahathir kerana bersikap jujur mengenai perkara itu.

“Sekurang-kurangnya dia berterus terang tentang matlamatnya dan tentang menggunakan kami untuk menjatuhkan Najib.”

Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara agak keberatan untuk bekerjasama dengan Mahathir.

Bagaimanapun, beliau berkata Anwar kemudiannya yakin tentang keperluan untuk bekerjasama, menggabungkan pengaruh mereka dalam membentuk pentadbiran baharu.

“Strategi itu berkesan dan berjaya. Bagaimanapun, kami kecewa dengan apa sahaja yang berlaku selepas itu (Langkah Sheraton),” katanya merujuk kepada pembelotan yang membawa kepada penggulingan pentadbiran Pakatan Harapan pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.