Pintu Umno sentiasa terbuka, termasuk untuk Dr M

Pintu Umno sentiasa terbuka, termasuk untuk Dr M

Ahli MKT Ahmad Maslan kata sesiapa sahaja boleh mohon untuk kembali ke pangkuan Umno.

Ahmad Maslan
Umno ambil pendekatan ‘memaafkan dan melupakan’ bagi mengukuhkan kembali parti, kata Ahmad Maslan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno sedia pertimbang permohonan mana-mana bekas ahli untuk kembali termasuk bekas presiden, Dr Mahathir Mohamad, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ahmad Maslan.

Ahmad menjelaskan sesiapa sahaja boleh memohon untuk kembali ke pangkuan parti, mengatakan permohonan mereka akan dinilai oleh suatu jawatankuasa khas dan kemudian dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

“Pintu Umno sentiasa terbuka,” katanya lapor Harian Metro, sambil menambah beberapa lagi nama bekas pemimpin yang berpotensi kembali akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Menurut Ahmad, Umno mengambil pendekatan ‘memaafkan dan melupakan’ bagi mengukuhkan kembali parti itu.

Mahathir dua kali meninggalkan Umno, kali pertama pada 2008 semasa parti itu diterajui Abdullah Ahmad Badawi, dan kemudian pada 2016 ketika Najib Razak.

Media melaporkan beliau meninggalkan Umno pada 2008 kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Perdana Menteri Abdullah, dan kali kedua sebagai tanda proses terhadap Najib, yang juga perdana menteri ketika itu.

Mahathir menubuhkan Bersatu pada 2016.

Semalam, Umno mengumumkan ia menerima permohonan daripada bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, yang dipecat keahlian pada 2023; dan daripada bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, yang digantung keahlian selama enam tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.