
Dalam kenyataan, jabatan itu memaklumkan peruntukan berkenaan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“…peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Jan 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas 1 Jan 2007,” katanya.
Jabatan Peguam Negara merujuk kenyataan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan CodeBlue pada 14 Nov dan portal akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times pada 16 Nov lalu.
Khairy mendakwa Jabatan Peguam Negara memberikan keizinan kepada RUU itu ketika dibawa ke Parlimen tahun lalu sebelum membuat keputusan mendadak untuk menggugurkannya.
Beliau mendakwa, tindakan menggugurkan RUU itu dilakukan susulan tekanan politik berbanding kebimbangan terhadap kesahihannya dari segi perlembagaan.
GEG bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada individu lahir selepas 2007.