Kedudukan MB bukan jaminan menang, kata Samsuri

Kedudukan MB bukan jaminan menang, kata Samsuri

Calon PRK Kemaman itu berkata majoriti besar diperoleh Che Alias Hamid pada PRU15 juga bukan alasan untuk jentera PAS berasa selesa.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau tidak memandang rendah calon lawannya dari Barisan Nasional, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK Kemaman.
PETALING JAYA:
Calon PRK Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kedudukannya sebagai menteri besar Terengganu bukan jaminan mudah untuk mempertahankan kemenangan PAS di kerusi itu pada 2 Disember ini.

Beliau yang juga naib presiden PAS, berkata majoriti besar diperoleh Che Alias Hamid di kerusi itu pada PRU15 lalu bukan alasan untuk jentera parti berasa selesa.

Menurut Samsuri, walaupun pengundi memberi reaksi positif namun beliau tidak memandang rendah calon lawan selain mengingatkan semua jentera parti supaya bekerja keras untuk mempertahankan kemenangan.

“Saya selalu sebut dalam mana-mana pilihan raya…(situasinya) macam main bola, selagi tak habis wisel penamat, selagi itu kita berlari tak habis garis penamat, kita jangan merasa selesa (dan) kena terus bekerja hingga titik yang terakhir,” kata Adun Ru Rendang itu selepas Ziarah Markas Unit Daerah Mengundi (UDM) DUN Chukai, menurut Berita Harian.

Samsuri berdepan calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas panglima tentera, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK nanti.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15.

Pada PRU15 lalu, Che Alias berjaya menewaskan bekas Menteri Besar Ahmad Said dengan meraih majoriti 27,179 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.