Murid lebam disyaki ‘ditibai’ guna paip, guru agama akan didakwa

Murid lebam disyaki ‘ditibai’ guna paip, guru agama akan didakwa

Bapa angkat kanak-kanak itu terkejut melihat kesan lebam dan bengkak pada anggota badan mangsa.

Seorang murid berusia lapan tahun lebam dan bengkak pada anggota badan selepas disyaki dipukul guru madrasah menggunakan batang paip PVC.
PETALING JAYA:
Seorang guru madrasah ditahan selepas disyaki memukul murid berusia lapan tahun dengan batang paip PVC sehingga mengakibatkan lebam dan bengkak pada anggota badan, dalam kejadian di Sik, Kedah.

Ketua Polis Sik, Abdull Razak Osman, berkata suspek berusia 27 tahun direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 16 Nov dan telah dijamin oleh seorang penjamin dengan suspek juga diwakili peguam bela.

Katanya, dalam kejadian pada 11 Nov, bapa angkat mangsa membuat laporan berhubung kecederaan dialami kanak-kanak itu yang mengadu sakit apabila duduk ketika dibawa keluar makan.

“Pengadu terkejut melihat kesan lebam dan terus ke Balai Polis Sik untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan laporan diterima suspek kemudian ditahan sehari kemudian.

“Pemeriksaan oleh pakar perubatan mengesahkan mangsa mengalami ‘soft tissues injuries'”, katanya.

Razak berkata, kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Kedah dan suspek akan dituduh bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.