Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan bertambah

Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan bertambah

Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 332 orang di enam PPS di daerah Pasir Puteh, Bachok dan Machang pagi ini.

Seramai 4,787 orang daripada 1,260 keluarga ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara di seluruh Terengganu pagi ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dungun menjadi daerah keenam terjejas banjir di Terengganu.

Seramai 4,787 orang daripada 1,260 keluarga ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu setakat 8 pagi tadi berbanding 3,917 orang malam tadi.

Harian Metro melaporkan sebuah PPS dibuka di Dungun malam tadi, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu menunjukkan 1,695 mangsa daripada 445 keluarga dipindahkan ke 14 PPS di daerah Kuala Nerus hari ini berbanding 1,426 orang daripada 370 keluarga di 12 PPS malam tadi.

Seramai 1,137 mangsa daripada 332 keluarga masih berlindung di lima PPS di daerah Kuala Terengganu, manakala jumlah mangsa di Marang meningkat kepada 1,251 orang daripada 316 keluarga di tujuh PPS.

Di Besut, 673 mangsa ditempatkan di empat PPS, sementara Setiu kekal dengan lapan mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS.

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat kepada 332 orang daripada 84 keluarga di enam PPS di daerah Pasir Puteh, Bachok dan Machang setakat 7.28 pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat dipetik Berita Harian menunjukkan 197 mangsa berlindung di PPS SK Dalam Rhu, 39 mangsa di SMK Beris Panchor dan 31 mangsa di SK Sungai Petai.

Ia disusuli SK Jelawat dan SK Wakaf Raja yang masing-masing menempatkan 30 mangsa, manakala lima mangsa berada di SK Pak Roman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.