
Justeru itu, mereka menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam bahawa ekonomi dan pelaburan ke Malaysia tidak terjejas di sebalik pendirian tegas mengutuk serangan regim Zionis sebagai perkara biasa sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata Malaysia sejak dahulu terutama ketika pentadbiran Mahathir memang lantang mengutuk Israel.
“Tidak ada kesan secara nyata tentang ucapan-ucapan perdana menteri terhadap pelaburan. Walaupun mereka tahu kebanyakan negara Islam mengutuk Israel tetapi mereka masih melabur di Malaysia,” katanya kepada FMT.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula berkata pelabur masih melihat kestabilan politik sebagai salah satu kriteria utama sebelum melabur.
Menurutnya, keadaan Malaysia kini semakin kondusif untuk melabur terutama kerana kerajaan Anwar dilihat stabil dengan majoriti selesa.
“Kerajaan perpaduan juga dijangka kekal memerintah sehingga tamat penggal, ada juga tambahan sokongan daripada empat Ahli Parlimen Bersatu,” katanya.
Semalam, Anwar pada sidang Dewan Rakyat memberitahu pendirian tegas Malaysia mengutuk serangan rejim Zionis Israel terhadap Gaza di Palestin tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS).
Minggu lalu, Anwar yang juga menteri kewangan menghadiri Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang turut dimanfaatkan untuk mencari pelaburan baharu.
Anwar berkata wakil kerajaan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz menjelaskan komitmen Malaysia semasa pertemuan dengan pelabur asing, yang membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.