
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi membuat saranan itu selepas seorang perwakilan PKR dari Perak mengkritik peranan jentera penerangan kerajaan perpaduan masih lemah dalam menjawab isu berbangkit.
“Baru kamu tahu kerenah bila jadi kerajaan. Giliran kamu jadi defensif. Jadi pembangkang cakap lebih senang dari buat. Boleh cakap apa sahaja.
“Ini yang dihadapi oleh Umno dulu. Rakyat lebih percaya tohmahan. Mereka percaya pada “formula”. Maka telan sahajalah. Kebenaran datang kemudian,” katanya di Facebook.
Ketika membahaskan ucapan presiden pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam, Wong Chai Yi berkata, “Kerajaan masih bertindak lembab dalam ‘damage control’.”
Pada 16 Nov, Agus Yusoff meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom, ketika tersebar rakaman video perbualan “mesra” antara beliau dengan pegawainya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani atau Wahab.
Sebagai rekod, Agus memulakan tugas sebagai ketua pengarah J-Kom di Pejabat Perdana Menteri pada Februari lalu.
Puad menambah sebarang inisiatif ekonomi rakyat mesti dirasai oleh rakyat dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Anwar Ibrahim.
“Jentera penerangan mesti diketuai oleh mereka yang kompeten.
“Ada J-Kom pun tidak guna. Patut media sosial diguna untuk beri penerangan tetapi diguna untuk promosi produk A & W.”
Sebelum ini, Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan J-Kom dibubarkan untuk menjimatkan dana kerajaan kerana kegagalannya berfungsi memberi penerangan dengan baik.
Pada Nov 2020 kerajaan diterajui Muhyiddin Yassin menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kepada J-Kom dengan peranan serta fungsi berbeza.
Puad sebelum ini mengetuai Jasa antara Mac 2015 dan April 2018 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).