
Saifudin berkata, ia untuk menilai pulangan pelaburan kepada negara, keberkesanan inisiatif mahupun aspek penilaian risiko keselamatan.
“Sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangkaan, maka pelan liberalisasi visa ini akan disemak semula untuk ditambah baik sebagai persediaan menjelang 2025 dan 2026.
“Ini akan dapat membantu kerajaan dalam memperkemas dasar dan prosedur berkaitan imigresen dan menjamin ketersediaan pasukan imigresen di pintu masuk negara untuk menerima kehadiran pelancong asing dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Saifuddin, satu pasukan khas juga akan ditubuhkan Jabatan Imigresen bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India pada tarikh akhir visa iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara.
“Seterusnya pemantauan tersebut akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat perkongsian strategik hubungan dua hala.
Katanya, ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara-negara Asia Barat.