Tak salah pusingan U, Muhyiddin tokoh tunggal PN bersaing lawan Anwar

Tak salah pusingan U, Muhyiddin tokoh tunggal PN bersaing lawan Anwar

Ketua Penerangan Razali Idris berkata tiada individu berkebolehan bersaing dengan Anwar Ibrahim kecuali presidennya.

Ketua Penerangan Razali Idris, berkata Muhyiddin Yassin boleh kekal menimbulkan kegerunan kepada pihak lawan dalam menguasai sokongan besar orang Melayu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin tinggi Bersatu berkata tidak salah Muhyiddin Yassin membuat pusingan U memandangkan beliau tokoh tunggal bagi memberi saingan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Razali Idris, berkata bekas perdana menteri itu bukan sahaja “milik keluarga” malah “hak milik parti dan rakyat” terutama dalam meneruskan momentum sokongan orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyatakan pengerusi PN itu membuat pusingan U selepas bercakap dengan isteri.

“Apabila perwakilan, ahli Bersatu nak beliau lagi sebagai presiden…jadi dia patah balik kepada keluarga dan kita juga pujuk keluarganya, kita cakap Muhyiddin memang hak milik keluarga tapi beliau juga hak milik parti dan hak milik rakyat Malaysia.

“Saya rasa apabila parti kerajaan termasuk DAP persoal tindakan Muhyiddin kerana mereka rasa gerun sebab tak ada orang lain boleh lawan PMX kecuali Muhyiddin, dan Muhyiddin ini tak ada perangai macam PMX, dia tak ada isu kontroversi, bersih, ada ilmu dalam ekonomi, tahu ilmu agama, anak ulama, nampak macam negarawan,” katanya kepada FMT.

Razali yang juga exco Terengganu, turut menganggap kritikan Guan Eng itu juga jelas menunjukkan DAP takut dengan gandingan Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang menjadi tonggak sokongan orang Melayu.

“Muhyiddin dan Abdul Hadi boleh menggugat kedudukan mereka sebab mereka tak dapat sokongan Melayu, sokongan Melayu tertumpu kepada PN, dan PN diketuai Muhyiddin,” katanya.

Katanya, tidak sesuai membandingkan Ahli Parlimen Pagoh itu dengan bapa Guan Eng, Lim Kit Siang kerana veteran DAP itu secara beransur “diturunkan pangkat” sebelum bersara.

Terdahulu, Guan Eng membidas Muhyiddin sebagai pemimpin “tak boleh pakai” kerana tidak tegas dalam membuat keputusan untuk berundur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.