
Di Kelantan, berikutan hujan lebat sejak semalam, beberapa kawasan dinaiki air menyebabkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 795 orang daripada 235 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 317 orang daripada 101 keluarga pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, semua mangsa berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas, Bachok dan Kota Bharu.
Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu terjejas banjir apabila PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sering dibuka tengah hari tadi bagi menempatkan 177 mangsa daripada 52 keluarga, manakala 227 mangsa daripada 78 keluarga sedang berlindung di PPS SK Gual To’Deh, Pasir Mas.
Di Bachok, PPS SK Jelawat menempatkan 109 orang daripada 31 keluarga, manakala 282 orang daripada 74 keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.
Di Terengganu, hanya tiga mangsa daripada satu keluarga masih berada di PPS daerah Kuala Terengganu setakat 8 malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (JPBNT), 17 mangsa yang berlindung di PPS sama, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol sudah pulang ke rumah 6 petang tadi.