Rosak kereta sebelum aksi Selangor dan Perak, 7 lelaki didenda RM2,000

Rosak kereta sebelum aksi Selangor dan Perak, 7 lelaki didenda RM2,000

Majistret turut mengarahkan tujuh tertuduh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu.

Tujuh lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk menghadapi tuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret di sini mendenda tujuh lelaki RM2,000 setiap seorang kerana merosakkan kereta di parkir Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum perlawanan Selangor FC dan Perak FC minggu lalu.

Ia selepas Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36; Norbadrul Amin Norazman, 27; Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21, dan Azizi Abu Hassan, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Harian Metro melaporkan Majistret Nur Natasya Mohtarudin turut mengarahkan mereka dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tujuh lelaki itu sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang secara bersama mendatangkan kerosakan kepada Honda FD milik seorang lelaki 22 tahun membabitkan kerugian RM15,000 di parkir terbabit pada 4.50 petang 25 Nov lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua tertuduh memohon denda minimum atas alasan perlu menanggung keluarga, tetapi Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun mencadangkan hukuman berat, mengambil kira kerugian dan kerosakan.

Ainol Syukri, Hariz dan Aziz membuat rayuan itu menerusi peguam Ainul Farihah Azizi, manakala empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, dua lagi lelaki, Muhamad Afiq Azman, 29, dan Muhamad Taufiq Nasharudin, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Timbalan pendakwa raya memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang, tetapi peguam Ainul Farihah yang mewakili tertuduh mencadangkan jaminan lebih rendah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Jan depan.

Media sebelum ini melaporkan 23 lelaki ditahan kerana disyaki terbabit pergaduhan di Stadium MBPJ sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC pada 25 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.