Berani datang mesyuarat malam ini, Zahid beritahu Isham

Berani datang mesyuarat malam ini, Zahid beritahu Isham

Presiden Umno berkata Isham Jalil perlu hadir mesyuarat MKT untuk menyuarakan bantahan terhadap kerjasama DAP.

Zahid Hamidi berharap Isham Jalil hadir mesyuarat MKT Umno malam ini.
PUTRAJAYA:
Zahid Hamidi mencabar Isham Jalil menyuarakan bantahannya terhadap kerjasama dengan DAP pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.

“Isham perlu beranikan diri datang mesyuarat malam ini,” kata presiden Umno.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyampaian sumbangan tabung kemanusiaan bagi rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita Umno di Bangunan Perdana Putra.

Zahid berkata, Isham perlu menyuarakan rasa tidak puas hatinya termasuk konon ada segelintir pemimpin Umno menjadi “barua” DAP yang menjadi punca parti itu ditolak orang Melayu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRK Kemaman Sabtu lalu.

“Saya harap malam ini Isham datang mesyuarat MKT. Kalau ada pendapat lain beliau boleh suarakan dan setakat ini beliau tak datang mesyuarat tiga kali, mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini.

“Suarakan pendapat yang beliau sanggah (tolak kerjasama DAP) apabila kita jalin kerjasama dengan PH bentuk kerajaan perpaduan,” katanya.

Mesyuarat MKT Umno dijadual diadakan 8.30 malam ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Isham sebelum ini lantang mengkritik kerjasama Umno-PH khususnya DAP, dengan yang terbaru pada 5 Dis lalu apabila menyatakan parti itu terus menerima penolakan orang Melayu kerana ia seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi “barua” DAP.

Beliau mendakwa, ada segelintir pemimpin Umno bertindak “lebih DAP daripada DAP”, dengan mempromosikan parti cauvinis itu secara berlebihan sehingga menimbulkan kurang senang akar umbi.

“Sebab kekalahan kita (di PRK Kemaman), ada beberapa orang yang mempromosikan DAP dalam Umno…cukup-cukuplah jadi ‘penjilat’ DAP. Janganlah bila kepentingan DAP tergugat, kamu yang terkoyak lebih,” katanya.

PRK Kemaman menyaksikan PAS menerusi Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Raja Affandi mendapat 27,778 undi, merosot berbanding 38,535 undi diterima Ahmad Said pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.