Berhenti berpaut pada PH, PN, Umno diberitahu

Berhenti berpaut pada PH, PN, Umno diberitahu

Shahril Hamdan berkata Umno sebaliknya perlu mencari penyelesaian dan mengakui masalahnya seperti tanggapan berkaitan rasuah, warlord, dan tiada kebebasan bersuara.

Shahril Hamdan berkata Umno perlu mencari penyelesaian dan mengakui masalahnya untuk memulihkan semula parti.
PETALING JAYA:
Umno perlu berhenti berpaut pada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai jalan singkat menyelesaikan krisis kehilangan sokongan rakyat sejak PRU14, terbaru pada PRK Kemaman.

Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata parti itu sebaliknya perlu mencari penyelesaian dan mengakui masalahnya seperti tanggapan berkaitan rasuah, warlord, dan tiada kebebasan bersuara.

“Umno kena berhenti ambil ‘short cut’ (jalan singkat), kena berhenti fikir untuk kuat, kena berpaut pada PH dan satu lagi kumpulan kata kena berpaut kepada PN.

“Berhentilah berpaut pada orang lain,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap dikendalikannya bersama bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Selepas PRU14, Umno pernah bekerjasama dengan PN untuk menjadi sebahagian kerajaan susulan kejatuhan pentadbiran PH di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Berikutan situasi Parlimen tergantung pada PRU15, Umno kemudian bersama PH membentuk kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim. Kebelakangan ini, wujud cadangan supaya Umno keluar kerajaan dan bersama PN susulan kemerosotan sokongan orang Melayu.

Beliau berkata Umno juga perlu berhenti mencari salah orang dan parti lain di atas kemerosotan sokongan, terutama dari segmen pengundi Melayu.

“Ini mereka terus salahkan DAP, pengkhianat, Muhyiddin Yassin, Mahathir…semua orang salah, manakala Umno itu tak salah,” katanya membincangkan topik krisis dalam Umno.

Beliau juga kurang bersetuju dengan pemecatan Isham Jalil daripada parti dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) pada Rabu lalu tanpa melalui proses sepatutnya.

Shahril Hamdan.

“Saya tak setuju, semata-mata Isham bagi pandangan, dia terus dibuang…beliau melalui proses seperti mana kami berdepan,” kata Shahril yang digantung keahlian selama enam tahun mulai Januari lalu.

Susulan kekalahan Umno pada PRK Kemaman, minggu lalu, Isham melancarkan kritikan terhadap pimpinan Umno yang mendakwa parti itu terus menerima penolakan orang Melayu kerana sudah tersasar daripada memperjuangkan Melayu dan Islam.

Beliau turut mendakwa ada pemimpin parti itu rela menjadi “barua” DAP dan memprotes kerjasama dengan parti itu pada pilihan raya.

Isham menang jawatan MKT pada pemilihan parti Mac lalu dengan mendapat 101 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.