
Naib presiden Umno itu berkata, ahli parti sepatutnya menggunakan saluran yang sesuai dan betul jika mempunyai pandangan dan tidak puas hati mengenai sesuatu perkara dalam parti.
“Saya ingat itu soal disiplin … mana-mana ahli parti ataupun mana-mana parti, terutamanya Umno sebagai sebuah parti yang besar, kita perlu pastikan tidak berlakunya tindak-tanduk seseorang ahli yang menggugat parti ataupun yang bercakap sesuka hati,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mesyuarat MKT pada Rabu lepas bersetuju memecat Isham daripada parti.
Keputusan ini dibuat dipercayai susulan kritikannya terhadap Umno yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini dalam usaha memperkukuh kerajaan perpaduan.
Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Isham akan menerima surat berkaitan status keahliannya dalam masa terdekat.
Sementara itu, sambil mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai ketua Umno Johor yang baharu Khamis lepas, Khaled menzahirkan harapan agar menteri besar itu dapat mengimbangi tugas dan tanggungjawabnya.
Khaled turut berharap Onn Hafiz mampu terus menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti.
“Memang wajarlah (Onn Hafiz dilantik) kerana di Johor, siapa yang jadi menteri besar, dia sepatutnya juga ambil tanggungjawab untuk jadi pengerusi badan perhubungan (ketua negeri),” katanya.