
Bekas Adun Telemong berkata, masih terlalu awal untuknya bercakap mengenai hala tuju, memandangkan pelantikannya menggantikan Ahmad Said juga disifatkannya sebagai agak mengejut.
“Beri saya lebih kurang sebulan untuk saya bentangkan apa visi dan misi saya, insya-Allah kita akan lihat hala tuju Umno Terengganu yang lebih jelas dan teratur, dalam usaha untuk kembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno.
“Kena ada rangka tindakan yang betul untuk kembalikan keyakinan rakyat. Tadi pun dah buat keputusan bersama ketua bahagian dan sayap untuk bekerjasama. Kita faham kedudukan Umno sekarang dan sangat-sangat sedar penolakan itu. Jadi, kami akan atur langkah dari kosong…dan mungkin penjenamaan semula Umno agar lebih sesuai dengan Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tugas Ketua Umno Terengganu daripada Ahmad Said kepadanya.
“Namun, pertamanya saya akan rapatkan hubungan keluarga Umno, rumah tangga kita dahulu. Mana yang pincang tu kita akan bincang bersama dan akan lihat di luar (melantik muka-muka baharu) tua atau muda,” katanya sambil mengesahkan bakal berlaku sedikit rombakan dalam Umno Terengganu, susulan pelantikannya ke jawatan itu.
Menyentuh mengenai ketiadaan blok pembangkang dalam DUN selepas PAS menyapu bersih 32 kerusi pada PRN ke-15 lalu, beliau yang sebelum ini setiausaha Umno negeri berkata, parti itu akan tetap menjalankan fungsi semak dan imbang dengan baik melalui media sosial khususnya.
Rozi juga melahirkan keyakinan Umno mampu bangkit semula di Terengganu, memandangkan landskap politik kini kian berubah mengikut keadaan semasa dan akan melakukan kajian terperinci untuk mengenal pasti faktor penolakan rakyat ketika ini, termasuk kekeliruan mengenai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Presiden Umno Zahid Hamidi menerusi surat dikeluarkan minggu lalu, memaklumkan pelantikan Rozi dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sebagai ketua Umno Terengganu dan Johor, berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan surat itu, Zahid berkata pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras Fasal 12.5 Perlembagaan Umno.