Sultan Johor bebas beri pandangan, kata PM

Sultan Johor bebas beri pandangan, kata PM

Anwar Ibrahim berkata cadangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Agong tidak akan menggugat Perlembagaan.

Anwar Ibrahim berkata sepatutnya tidak ada kebimbangan jika ada pandangan termasuk daripada Sultan Johor mengenai perkara itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sultan Johor bebas memberi pandangan termasuk berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petronas susulan pelantikannya sebagai Yang di-Pertuan Agong tahun depan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan cadangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Agong bukan Parlimen seperti sekarang.

“(Sultan Johor) hanya lontar pandangan, kita boleh bincang, bagi saya tidak ada masalah. Ia tidak langsung akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan negara kita.

“Itu pandangan saya. Saya bukan nak ulas tapi kerana saya diminta ulas kenyataan itu dan saya jawab kita boleh berunding dengan baik,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Anwar berkata, sepatutnya tidak ada kebimbangan jika ada pandangan termasuk daripada Sultan Johor mengenai perkara itu.

“Pandangan ini, ya kita boleh dibawa bincang tapi tidak akan mempengaruhi dasar negara dan prinsip kita tentang Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sultan Ibrahim dalam temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura turut berkata, menghentikan amalan rasuah antara tumpuannya apabila baginda memikul tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, tahun depan.

Titah itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang meminta Anwar memelihara dan mempertahankan konsep pengasingan kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.