J-Kom bawah pantauan Fahmi di Kementerian Komunikasi

J-Kom bawah pantauan Fahmi di Kementerian Komunikasi

Agensi lain diletakkan bawah Kementerian Komunikasi termasuk Jabatan Penerangan, SKMM, Finas dan Bernama.

Menerusi Kementerian Komunikasi Fahmi Fadzil akan memantau J-Kom, Jabatan Penerangan, SKMM, Finas dan Bernama.
PUTRAJAYA:
Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang sebelum ini berada bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini diletakkan bawah Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil.

Selain J-Kom, Fahmi turut akan memantau Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Bernama bawah kementerian itu.

Pada sidang media hari ini, Fahmi berkata, beliau belum mengadakan sebarang pertemuan dengan pihak J-Kom dan meminta sedikit masa untuk memuktamadkan beberapa perkara, termasuk ketua pengarah baharu bagi J-Kom.

“Saya belum sempat berjumpa dengan pihak J-Kom. Jadi saya perlu beri mereka masa dan ruang untuk memberi taklimat sebelum beri komen lanjut.”

Fahmi memaklumkan, agensi-agensi yang akan diletakkan di bawah kementerian lain dijangka akan diputuskan pada Januari depan.

Sementara itu, Fahmi juga berkata, Anwar berterima kasih kepada barisan bekas menteri dan timbalan menteri atas khidmat mereka sebelum ini

Barisan menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik pula diingatkan agar segera turun padang bagi menjalankan tugas.

Jemaah Menteri yang dirombak semalam kini dianggotai 31 menteri, dibantu 29 timbalan menteri.

Antara menteri baharu yang dilantik termasuk Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi); Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Sementera itu, V Sivakumar yang sebelum ini menteri sumber manusia digugurkan, dengan portfolionya diambil alih Steven Sim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.