Dapatan koroner kes tembak mati ahli perniagaan tak dapat dipertahan, mahkamah diberitahu

Dapatan koroner kes tembak mati ahli perniagaan tak dapat dipertahan, mahkamah diberitahu

Pesuruhjaya Kehakiman Moses Susayan akan menyampaikan penghakimannya pada 10 Jan.

Ahli keluarga kepada ahli perniagaan, G Mohan mencabar keputusan terbuka koroner di Mahkamah Tinggi Ipoh susulan kematiannya selepas ditembak polis di Sitiawan, Perak, tujuh tahun lalu.
PETALING JAYA:
Keputusan terbuka oleh koroner dalam inkues melibatkan tembakan polis di Sitiawan, Perak, tujuh lalu tidak boleh dipertahankan, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Peguam S Raam Kumar, mewakili ibu bapa ahli perniagaan G Mohan, berkata Koroner Ainul Shahrin Mohammad gagal mempertimbangkan pengakuan daripada penembak si mati bahawa mereka menembak untuk membunuh.

“Polis juga gagal mematuhi Perintah Tetap Ketua Polis Negara dengan tidak memberikan tembakan amaran atau tembakan di kaki si mati,” katanya dalam hujahan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Moses Susayan.

Raam berkata, tiada kelongsong peluru daripada revolver yang dikatakan diguna si mati ditemui, selain ketiadaan kesan cap jari, DNA atau sisa tembakan dikesan pada pistol atau pada si mati.

“Tiada alasan diberikan kenapa tiada sekatan jalan dibuat jika benar polis sedang menjejak si mati,” katanya sambil dibantu V Selvaratnam.

Beliau berkata, tiada juga cadangan menyatakan tayar kenderaan si mati ditembak.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon dalam hujahan berkata, pihak polis telah mengejar kereta dipandu Mohan.

Katanya, kereta berkenaan terbabas, namun Mohan keluar daripada kenderaan itu dan menembak polis, sekali gus memaksa polis melepaskan tembakan.

Keluarga berkenaan memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi tahun lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan koroner.

Menurut fakta kes, satu pasukan polis menjalankan operasi di sepanjang jalan Sitiawan-Air Tawar, kira-kira 3.15 pagi pada 8 Okt 2016, ketika mereka melihat sebuah kereta disyaki dipandu seorang lelaki mencurigakan.

Laporan bedah siasat mendapati lelaki itu meninggal dunia kesan pendarahan teruk selepas terkena satu das tembakan di dada dan satu lagi di kaki.

Susayan akan menyampaikan penghakimannya pada 10 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.