Kementerian tingkat keterlibatan, tangani penurunan pengeluaran minyak sawit

Kementerian tingkat keterlibatan, tangani penurunan pengeluaran minyak sawit

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata kementeriannya akan memainkan peranan lebih agresif dalam mempromosikan industri itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johani Ghani berkata, kerajaan tidak mahu industri minyak sawit menerima nasib sama seperti getah.
PETALING JAYA:
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani bimbang sektor minyak sawit mengalami nasib serupa industri getah melainkan tindakan diambil bagi membaiki keadaan.

Menurutnya, satu cara menangani masalah penurunan pengeluaran minyak sawit adalah meningkatkan keterlibatan dengan pihak sektor swasta yang terbabit dalam industri itu.

Beliau berkata, kementerian merancang memainkan peranan lebih agresif dalam mempromosikan industri itu, seterusnya diharapkan meningkatkan keyakinan perniagaan dan menggalakkan mereka lebih banyak melabur secara domestik.

Johari berkata, pada 2023 pengeluaran minyak sawit mentah kurang daripada 18 juta metrik tan berbanding sedekad lalu ketika negara menghasilkan 19 juta tan metrik.

“Ia tidak meningkat,” katanya dalam wawancara malam tadi.

Sebaliknya, Indonesia dalam keadaan lebih baik apabila pengeluaran republik itu mencapai 45 juta tan metrik tahun ini. Pada 2013, pengeluaran Indonesia hanya 2 juta tan metrik, katanya.

“Saya bimbang jika komoditi ini tidak ditangani dengan betul, ia akan menjadi seperti industri getah. Pada 1970, kita hampir nombor satu, pengeluar terbesar getah.”

Menurutnya, hanya kira-kira lima dekad lalu, Vietnam cuma menghasilkan 30,000 tan metrik getah. Bagaimanapun, pada 2022, negara itu mengeluarkan lebih 1 juta tan metrik berbanding 400,000 tan metrik dihasilkan Malaysia.

“Ia kini negara pengeksport getah asli ketiga terbesar dunia.”

Johari berkata, antara sebab industri minyak sawit tidak berkembang adalah disebabkan pekebun kecil tidak mempunyai perancangan penggantian.

Katanya, keterlibatan sektor swasta dalam industri perlu dipertingkatkan untuk minyak sawit yang masih menjadi “penyumbang besar” kepada ekonomi.

Beliau berkata, kementeriannya bukan entiti penjana pendapatan, tetapi berperanan menjadi fasilitator untuk sektor swasta bagi komoditi.

“Kami memudahkan mereka melakukan perniagaan. Dengan cara ini, apabila meraih untung, mereka menjadi lebih mampan.”

Katanya, satu cara kerajaan dapat memainkan peranan sebagai fasilitator adalah dengan membantu sektor swasta mematuhi piawaian antarabangsa bagi memastikan produk mereka terus menembusi pasaran Eropah.

Sebaliknya, industri itu perlu memodenkan pendekatannya, meningkatkan keberkesanan dan kualiti pengeluaran.

Bagaimanapun, katanya, setiap komoditi berbeza memerlukan strategi berlainan.

“Kaedah pukul rata tidak wujud – sebab itulah keterlibatan itu penting.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.