
Anwar beri jaminan proses tersebut akan berjalan dengan telus, mengikut amalan biasa.
“Kita akan lihat semula keseluruhan proses tersebut sama ada ianya dipatuhi.
“Kita akan melalui proses biasa, tiada asas untuk mengandaikan prosesnya melalui tender rundingan terus, ia akan melalui proses yang telus,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara.
Sebelum ini, FMT dengan memetik sumber melaporkan 32 syarikat konsesi lebuh raya membantah langkah kerajaan menandatangani ‘perjanjian pelantikan’ dengan sebuah syarikat, berkait MLFF.
Perjanjian itu dikatakan ditandatangan pada 17 Nov 2022, tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan menanggung kos.
Menerusi MLFF, sistem kutipan tol di lebuh raya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Melalui sistem itu pengguna jalan raya boleh menggunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama.
Persatuan Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) dikatakan menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, dengan mendakwa langkah tersebut melanggar persetujuan antara mereka dengan kerajaan.