
Perkara itu dimaklumkan Presiden MCA, Wee Ka Siong, di Facebook.
Wee yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang menyifatkan pemergian Chow, yang berusia 96 tahun, merupakan satu kehilangan besar buat negara dan MCA.
“Mewakili pihak parti, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga ketua Wanita MCA pertama, Rosemary Chow Poh Kheng, yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini,” katanya.
Wee berkata Chow memulakan pergerakan Wanita MCA dengan 800 ahli pada 1975 dan sentiasa memperjuangkan hak wanita serta kanak-kanak.
Mendiang seorang aktivis sosial yang berpendidikan tinggi dan pernah menjadi Ahli Parlimen Ulu Langat pada 1975 sebelum dilantik sebagai setiausaha Parlimen bagi Kementerian Kesihatan, apabila dipilih semula pada PRU 1978.
Beliau berkata Chow menjadi pemimpin pertama Wanita MCA yang dilantik sebagai timbalan menteri pada 1982 dan berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
“Rosemary terkenal dengan kejayaan kempen mempromosikan monogami dalam kalangan bukan Islam dan peranannya dalam penggubalan undang-undang untuk mewajibkan pendaftaran perkahwinan sivil.
“Bukan itu sahaja, beliau juga terlibat secara aktif dalam pendidikan vernakular dan pembukaan tadika di negara ini untuk menggalakkan pendidikan prasekolah,” katanya.