
Beliau berkata, Johor kini ditadbir BN, manakala Melaka di bawah kerajaan perpaduan, tetapi dua negeri itu dimenangi gabungan berkenaan sebelum ini.
“Pada PRN akan datang, munasabah dan wajar untuk BN terus bertanding atas tiket sendiri dan mendapat mandat daripada pengundi untuk mentadbir secara bebas,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-77 parti itu.
Beliau berkata, persediaan menghadapi pilihan raya perlu memasuki peringkat akhir sekarang, dengan jentera parti di dua negeri itu diarah diaktifkan segera.
Mengenai strategi PRU16, beliau meminta semua pihak bertenang.
“Buat masa ini, kita fokus PRN Melaka serta Johor dan berusaha sedaya upaya. Kita akan biar keputusan pilihan raya berbicara sendiri,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
BN kini mempunyai 40 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor dan 21 di Melaka. PRN Melaka dijangka diadakan lewat tahun ini, manakala Johor dijadualkan pada pertengahan Februari depan.
Wee berkata, MCA menyasarkan menang lebih banyak kerusi DUN berbanding pilihan raya sebelum ini dan BN perlu memberi penyelesaian praktikal kepada rakyat, bukannya bergantung kepada retorik.
Katanya, penting untuk mengekalkan keyakinan politik dan memberi amaran BN tidak patut berdepan pilihan raya dengan pendirian lemah terhadap parti lain atau memberi isyarat sedia melepaskan kerusi tradisinya.
“Jika kita mahu berjuang, kita perlu lakukan dengan penuh komitmen dan bertekad untuk menang.
“Walaupun BN perlu bekerjasama dengan pihak lain untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya, kuasa tawar-menawar kita akan bergantung kepada berapa banyak kerusi yang kita menangi, bukan sejauh mana kita merendahkan diri.”