
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin, yang juga Adun Kesidang, berkata keputusan itu dimuktamadkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama pihak berkuasa serta agensi kerajaan berkaitan.
“Sebelum ini, terdapat etnik Rohingya menganjurkan program komuniti di Kampung Limbongan sehingga mengundang rasa kurang selesa penduduk tempatan kerana muzik yang dipasang terlalu kuat, selain turut membawa kumpulan etnik berkenaan dari luar ke kampung berkenaan.
“Sekali lagi, saya menerima surat makluman yang menyatakan terdapat penduduk etnik Rohingya di kampung sama ingin mengadakan majlis perkahwinan dan kelulusan tidak diberikan bagi mengelakkan situasi tidak diingini,” katanya menurut Bernama ketika melakukan tinjauan di Kampung Kolam di Limbongan, Melaka.
Katanya, sekiranya warga asing berkenaan masih ingin menganjurkan program komuniti atau keraian, mereka disaran menyewa premis bersesuaian seperti restoran atau dewan.
Seah berkata, terdapat sekitar 100 hingga 200 etnik Rohingya tinggal di kawasan Limbongan, sekali gus memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan kerap pihak berkuasa bagi membendung pelbagai masalah, khususnya isu sosial seperti memandu secara berbahaya dan jenayah.
Beliau berkata, undang-undang sedia ada dikuatkuasakan bagi memastikan kumpulan etnik berkenaan tidak melakukan sebarang perkara menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Limbongan, Rina Hashim, 50, berkata pihaknya memohon pihak berkuasa supaya memberi perhatian serius terhadap pelbagai isu melibatkan etnik berkenaan, selain jumlah mereka yang kian bertambah khususnya di Kampung Kolam sehingga membentuk sebuah komuniti.
“Kebanyakan mereka mempunyai kenderaan dan meletakkan kereta sesuka hati selain menunggang motosikal dengan laju di kawasan kampung,” katanya.