DAP jangan bagi ‘bola tanggung’, digesa pamer perpaduan dalam kerajaan

DAP jangan bagi ‘bola tanggung’, digesa pamer perpaduan dalam kerajaan

Walaupun berada dalam kerajaan, DAP tidak seharusnya sentuh isu yang boleh timbulkan rasa tak senang hati rakyat terutama berkaitan isu agama dan bangsa, kata penganalisis.

Lau Zhe Wei dari UIAM berpandangan cadangan daripada ahli DAP dalam isu tertentu kelihatan ‘tidak cerdik’ dari sudut politik.
PETALING JAYA:
DAP diingatkan tidak memberikan ‘bola tanggung’ dengan memberikan peluang mudah kepada parti lain untuk menegur kesilapan mereka, sebaliknya mempamerkan perpaduan dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, walaupun DAP berada dalam kerajaan, mereka tidak seharusnya menyentuh isu yang boleh menimbulkan rasa tidak senang hati rakyat terutama berkaitan isu agama dan bangsa.

“Dari segi logiknya, saranan tu tak sepatutnya dinyatakan tapi bila dinyatakan menggambarkan kerajaan perpaduan atau pemikiran DAP tak memikirkan perasaan rakan-rakan dalam kerajaan yang sama,” katanya kepada FMT.

Azmi merujuk cadangan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Hasil kajian, pandangan, dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-raja.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook kemudian berkata cadangan Ngeh itu suatu kekhilafan, dan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku pengerusi MKI.

Semalam, Sultan Sharafuddin meminta orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia percaya Ngeh menggunakan isu itu untuk meraih sokongan dari akar umbi parti.

“Tiada salahnya ada jawatankuasa yang menyelaraskan undang-undang syariah dan sivil yang ada anggotanya dari pakar undang-undang tak mengira latar belakang.

“Cuma perkara ini perlulah dibincang di belakang tabir sebagai usaha kerajaan perpaduan, bukan dinyatakan terang-terangan tanpa kesepakatan bersama parti-parti lain.”

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarababangsa Malaysia pula berkata ada antara cadangan daripada ahli DAP yang bersifat universal jika diambil dari sudut “neutral”, dengan mengambil contoh isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan dan calon perdana menteri dari bukan Melayu yang dibangkitkan veteran parti itu, Lim Kit Siang.

Bagaimanapun, jika isu itu dilihat dari sudut politik, maka tindakan itu tersebut kelihatan “tidak cerdik”.

Pada pandangannya, tindakan Loke “lebih cerdik dari perkiraan politik. Kita faham dalam situasi politik sekarang, apapun secara langsung atau tak langsung berkaitan agama dan kaum akan jadi sangat sensitif dan jadi senjata politik.”

Sementara itu, Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula berkata wakil rakyat DAP perlu lebih berhati-hati memberikan pandangan terutama melibatkan kepentingan orang Islam.

“Walaupun pandangan ini dianggap peribadi dan tidak mewakili pandangan DAP, ia wajar dikawal kerana ia boleh memburukkan imej DAP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.