
Dalam kenyataan, wakil rakyat DAP itu menjelaskan beliau tidak mempunyai niat untuk mencampuri hal ehwal Islam dan hanya membuat saranan berkenaan supaya semua pandangan diambil sebelum sebarang perlembagaan dipinda.
“Sekarang sudah jelas jawatankuasa khas itu ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia diketuai Sultan Selangor yang tidak saya sedari sebelum ini.
“Saya dengan ini menarik semula cadangan tersebut dan membuat permohonan maaf…saya tiada niat untuk mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” kata Ngeh yang juga penasihat DAP Perak.
Khamis lalu, Ngeh mencadangkan pakar dari kalangan bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi DUN bagi menggubal undang-undang Islam.
Ngeh ketika mencadangkan pelantikan itu menjelaskan ia agar jawatankuasa tersebut dapat mengambil kira pandangan orang bukan Islam supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.
Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Bagaimanapun, cadangan pemimpin DAP itu mendapat bantahan keras daripada pemimpin Umno dan pembangkang yang menganggap Ngeh cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata cadangan Ngeh itu suatu kekhilafan, dan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor selaku pengerusi MKI dalam membuat keputusan.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam.